Cinta Ke?

Sudah agak lama juga sejak kali terakhir saya membuat entri disini. Mood cuti yang terlalu panjang dan juga ditambah dengan kesibukan tugas telah menghadkan masa saya untuk menulis entri. Keadaan semasa juga tidak mengizinkan saya untuk mencari niche yang sesuai untuk diketengahkan.

Saya rasa entri kali ini saya ingin bercerita tentang HATI dan PERASAAN.

Sebagai seorang manusia tentunya hati dan perasaan ini adalah sesuatu yang kita perkatakan setiap hari. Tengok sahajalah di page KRT tu. Setiap hari ada sahaja isunya. Kebanyakannya berkongsi tentang masalah yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Hati dan perasaan berkait rapat dengan cinta dan kasih sayang. Tanpa cinta dan kasih sayang hidup ini tak sempurna. Jika kesabaran itu adalah sebahagian dari iman, cinta dan kasih sayang adalah sebahagian dari kehidupan.

Siapa yang tak pernah merasakan cinta kan? Cinta hadir dalam pelbagai cara. Seringkali juga ia hadir tanpa diduga. Seringkali juga cinta yang diminta tidak hadir dalam diri. Acapkali cinta dikhianati. Setiap hari cinta didustai. Setiap saat cinta mekar di dalam hati.

Saya bukanlah orang yang tepat untuk berbicara tentang cinta apatah lagi jika hendak menjadi rujukan tentang cinta.

Tapi setiap orang pasti akan merasai cinta. Ada cinta yang kekal selamanya. Ada juga cinta yang tamat tempoh sebelum waktunya. Beruntunglah siapa yang memiliki cinta yang sejati hingga ke akhir hayat.

Ungkapan cinta terlalu banyak dan tidak pernah mempunyai noktah mahu pun mempunyai had. Amatlah rugi jika tidak pernah merasa diri mencintai dan dicintai.

Dah rasa macam jiwang karat pula ni. Jika sudi, kongsikan di ruangan komen ungkapan cinta anda terhadap orang yang anda cintai, kasihi dan sayangi. Tidak perlu sebutkan namanya cukup sekadar panggilan singkat.

Pada yang sudi berkongsi, saya ucapkan ribuan terima kasih. Saya doakan semoga anda semua sentiasa dipenuhi cinta yang bahagia.

Advertisements

Pes Kuah Kacang (Recommended)

Salam sejahtera semua.

Entri kali ini saya nak buat sedikit food review. Maklumlah beberapa hari sahaja lagi orang Islam akan mula menyambut Syawal. Pada bulan ini sahajalah kita akan dapat lihat produksi kuah kacang dari segenap rumah masyarakat Melayu di Malaysia.

Image may contain: food

Kita borak sikit perihal kuah kacang ni. Pagi Syawal kita pasti tak lengkap tanpa kuah kacang. Salah satu menu wajib ada di atas meja sebelum menjamu selera sama ada sebelum atau selepas ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Umpamanya tak ceria pagi raya kalau tak ada kuah kacang ni.

Namanya simple sahaja KUAH KACANG tetapi penyediaannya tidak semudah yang disangka. Bukan boleh siap dalam 30 minit. Tak percaya cuba buat sendiri ikut mana-mana perkongsian resepi dari internet. Tak sah kalau tak lenguh urat badan semua.

Kuah kacang ni saya boleh umpamakan sebagai pelengkap menu pagi Syawal. Ketupat dicurah sayur lodeh tak sedap tanpa kuah kacang. Ketupat tanpa lodeh juga tak sedap tanpa kuah kacang. Lemang walaupun enak dimakan bersama rendang daging juga tak sempurna tanpa kuah kacang. Ha…nampak tak pentingnya kuah kacang kat situ.

Jadi bersempena nak Syawal ni seorang sahabat saya ada menyediakan Pes Kuah Kacang segera tanpa anda perlu berhadapan dengan kerenah penyediaannya.

Image may contain: food

Pes Kuah Kacang by D’jarilicious Katering disediakan sepenuhnya dari air tangan pemilik bersama syarikat katerer terkenal di Lembah Kelang ini. Majoriti pelanggan Djarilicious adalah dari kalangan VIP dan VVIP. Apa sahaja menu yang disediakan tidak pernah menghampakan para tetamu. Diakui antara katerer dengan menu masakan yang sedap di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Saya berani beri jaminan Pes Kuah Kacang ini tidak akan menghampakan anda semua. Harganya juga amat berpatutan. Setiap bekas mengandungi 500 gram pes kuah kacang yang sangat mudah disediakan dan boleh menampung hidangan untuk 15 ke 20 orang tetamu. WoW! Banyak tu. Bukan untuk makan sendiri-sendiri ni.

Saya dimaklumkan bahawa minggu ini akan masuk produksi untuk kali yang ke-4 dimana pihak Djarilicious mampu menyediakan 80 bekas bagi setiap produksi. Jadi anda buatlah kira-kiranya sendiri. Dan yang sebenarnya ini merupakan tahun pertama Djarilicious menyediakan Pes Kuah Kacang ini. Maka anda pasti akan faham bahawa sebenarnya pes kuah kacang ini memang sedap.

Untuk menyediakan Pes Kuah Kacang ini pun sangat-sangat mudah. Anda hanya perlu menambah secawan air dan dipanaskan sehingga mendidih. Ha…mudah aje kan. Budak sekolah pun boleh buat.

Macam mana nak dapatkan pes kuah kacang ni? Nak beli dimana? Berapa harganya?

Harga bagi setiap bekas adalah RM15/500gram. Anda perlu membuat tempahan awal kerana pes kuah kacang ini sangat cepat dibeli orang.

Image may contain: food

Untuk membuat belian anda boleh menghubungi saya terus di talian 0147128525.

Buat masa ini tiada perkhidmatan pengeposan untuk kawasan luar dari Lembah Kelang. Penghantaran ke rumah boleh diuruskan dengan belian minimum 2 bekas ditambah sedikit caj penghantaran.

Syawal semakin hampir dah ni. Baik hubungi saya segera!

No automatic alt text available.

*khabarnya setiap pembelian akan menerima sampul duit raya dengan percuma.

FB Page: https://www.facebook.com/djarilicious/
Logo

 

AWAS! Bahaya Fidget Spinner

Beberapa hari yang lalu saya ditunjukkan video dibawah yang dipercayai kemalangan melibatkan fidget spinner. Tidak dapat dipastikan dimana berlakunya kejadian ini.

Di dalam entri-entri saya sebelum ini telah saya tegaskan bahawa kanak-kanak yang bermain fidget spinner ini perlunya dibawah kawalan dan pemantauan ibu bapa.

Selain itu pemilihan spinner yang kurang berbahaya juga amatlah perlu dititikberatkan. Ada ibu bapa memang tak peduli pun hal seperti ini walhal adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tahu, ambil tahu, ambil peduli tentang apa permainan yang kita belikan, bagaimana cara bermainnya, apa tahap bahayanya. Ia sama jugalah seperti ambil peduli tentang siapa kawannya, kenal di mana, apa latar belakangnya.

Pesan saya, bermain tu bermain juga. Tapi keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan.

Benda Apa Ni? Untuk Apa?

Soalan ini banyak berlegar-legar di ruang maya media sosial apabila ada yang menyebut tentang Fidget Spinner atau Hand Spinner atau apa sahaja kod nama yang digunakan oleh penjual dan promoter.

Ini jelas menunjukkan bahawa alat permainan ini masih belum cukup viral di Malaysia. Pada pandangan saya, ibu bapa wajib ambil tahu kerana perkara ini pasti akan melibatkan anak-anak mereka. Terutamanya yang duduk di kawasan bandar yang mungkin agak sibuk dengan komitmen mencari rezeki.

Jelas pada tajuk entri kali ini adalah berkenaan dua perkara. Iaitu yang pertama fidget spinner ni benda apa? Dan soalan kedua fidget spinner ni untuk apa?

Menjawab dua soalan ini pun akan menimbulkan lebih banyak persoalan terutamanya dari kalangan ibu bapa yang mungkin telah diberi info yang kurang tepat tentang perkara ini.

Jadi mari kita huraikan sedikit berkenaan soalan pertama iaitu fidget spinner ni benda apa? Kita jawab dari sudut norma biasa seorang manusia yang ingin tahu.

Fidget Spinner adalah sejenis alat permainan untuk melepaskan tekanan atau stress yang mempunyai fungsi seperti stress ball. Asas rekaan alat permainan ini adalah gabungan bearing di tengah-tengahnya dari pelbagai jenis material atau bahan berbeza (mengikut negara pengeluar) seperti stainless steel, plastik, titanium dan copper.

Alat permainan ini direka dan dicipta pada tahun 1990an tetapi hanya mula mendapat perhatian dan populariti pada tahun 2017. Alat ini didakwa mampu memberikan kesan baik terhadap perkembangan minda seseorang dan menjadi kegilaan kanak-kanak, remaja mahu pun orang dewasa.

Jelas tak? Kalau tak jelas nanti boleh tanya lagi kemudian.

Soalan keduanya, fidget spinner ni untuk apa? Part ini ada banyak percanggahan pendapat dan pandangan. Apa pun saya cuba ringkaskan untuk pemahaman kita semua.

Asalnya alat permainan ini direka dan dicipta untuk membantu kanak-kanak istimewa ADHD, Autisma dan Anxiety belajar fokus terhadap sesuatu. Ia bertindak sebagai mekanisma pelepas rasa gemuruh dan stress supaya dapat lebih fokus pada pembelajaran.

Pakar berselisih pendapat tentang perkara ini dimana sebahagiannya bersetuju dan sebahagian yang lain pula tidak bersetuju kerana tidak ada bukti jelas pengkajian yang menyokong dakwaan ini dan mendakwa ia tidak mustahil boleh menjadi sebahagian dari gangguan atau distractions.

Mengikut pengalaman sebahagian ibu bapa dan pengalaman saya sendiri, yang telah memberikan fidget spinner kepada anak-anak, pastilah ada yang menyokong kerana perubahan itu dapat dilihat dengan jelas terhadap perkembangan anak-anak.

Namun saya tidak menafikan wujudnya gangguan atau distraction kerana keadaan ini boleh berlaku jika kurang atau tidak ada kawalan dari ibu bapa terhadap anak-anak yang bermain fidget spinner ini.

Jadi sama ada anda setuju dan menyokong atau tidak adalah terpulang pada anda. Tidak ada yang salah kerana setiap anak-anak kita mempunyai karakter yang berbeza.

Saya harap penerangan ini cukup jelas sebagai panduan anda semua. Jika ada persoalan dan pertanyaan tambahan boleh tinggalkan di ruangan komen.

Homeschooling Tips: Curriculum Tips

Entri kali ini saya nak tinggalkan dulu isu Fidget Spinner. Bila ada kesempatan lain nanti saya sambung bercerita tentang permainan itu.

Di sini saya nak kongsikan sedikit tips homeschooling untuk para Ibu. Ringkas sahaja tetapi saya harap ia bermanfaat untuk semua. Jika anda mempunyai pandangan atau idea sila tinggalkan di ruangan komen.

Tips ini adalah gabungan dari pengalaman sebahagian besar Ibu homeschooling di luar sana. Untuk Entri ini saya kongsikan dahulu tips Kurikulum homeschooling.

  • Sekiranya boleh, biarkan anak-anak anda explore sendiri topik yang mereka minat. Beri galakan terhadap minat mereka.
  • Jangan takut untuk menggugurkan kurikulum yang kurang berkesan terhadap anak-anak anda walaupun ketika sudah di pertengahan tahun.
  • Beberapa tahun persekolahan mungkin diperlukan sebelum anda dapat mengenalpasti kurikulum yang sesuai dengan mereka.
  • Kurikulum yang sesuai bagi seseorang anak anda mungkin tidak bersesuaian dengan seorang anak anda yang lain. Jadi setiap anak mungkin mempunyai kurikulum yang berbeza.
  • Grades atau penilaian pembelajaran tidak perlu terlalu dititikberatkan sehingga memasuki sekolah menengah. Terlalu memfokuskan pada pencapaian akan membuatkan anak-anak anda kurang fokus terhadap kemahiran yang lebih penting.
  • Dari sudut pandangan lain, pencapaian akademik boleh membantu dan memotivasikan anak-anak yang cerdik tetapi kurang perhatian terhadap perincian yang lain.
  • Pesta Buku akan sangat membantu untuk anda memilih kurikulum yang bersesuaian.
  • Jika ke Pesta Buku, jangan terlalu ghairah dengan banyaknya pilihan yang ada. Semua kurikulum secara asasnya mengajar perkara yang sama. Cuma perlu cari dan dapatkan format serta harga yang bersesuaian dengan bajet dan kemampuan keluarga anda.
  • Tidak mungkin 1 perkara mampu merangkumi keseluruhan perkara termasuklah sekolah.
  • Jika anda risau atau dapati anak-anak anda mengalami kesukaran dalam pembelajaran, uji mereka dan dapatkan bantuan profesional.
  • Terapkan minat pada Sains terhadap anak-anak.
  • Biarkan anak-anak anda berikan input terhadap kurikulum yang mereka minat terutamanya ketika mereka meningkat dewasa.

Mudah-mudahan tips ini dapat memberikan sedikit panduan dan gambaran buat para ibu bapa di luar sana.

Insyaallah saya akan kongsikan tips yang lain pula pada entri yang seterusnya nanti.

Jenis-jenis Fidget Spinner di Pasaran

Saya telah pun memberikan pandangan berkenaan fidget spinner pada entri sebelum ini menerangkan secara ringkas perlukah memberikan fidget spinner pada anak-anak dan fungsinya yang bukan sekadar alat permainan.

Entri kali ini saya akan dedahkan pula berkenaan jenis-jenis fidget spinner yang merangkumi rekabentuk luarannya, jenis bearing dan adakah ia merbahaya atau tidak.

Sebelum itu ingin saya tegaskan disini bahawa penulisan saya ini adalah pandangan peribadi saya hasil dari bacaan dan kajian saya sama ada secara maya atau melalui pengalaman sendiri. Saya bukanlah seorang pakar kanak-kanak atau pakar psikologi. Cuma seorang insan biasa yang mempunyai 3 orang anak.

Mari kita mulakan dengan foto-foto dibawah ini:

Hand-Spinner-Finger-Fidget-Hybird-Alloy-Bearing-Gyro-Kids-Adult-Desk-FocusToy

Jadi, apa pandangan anda setelah melihat tiga foto di atas?

Foto pertama diperbuat dari bahan logam aloi. Walaupun rekabentuknya mempunyai bucu seakan tajam tetapi sebenarnya ia tidak tajam. Mampu memberi kecederaan ringan ketika bermain jika melakukan skill level pertengahan ke atas. Tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar China.

Foto kedua pula mempunyai rekabentuk umpama bilah pedang atau sabit. Diperbuat dari bahan logam aloi. Bearing tengah dari ceramic. Tajam? Tidak tapi mampu mencederakan pengguna dan orang lain ketika bermain. Tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar China.

Foto ketiga diperbuat dari bahan besi dan dibentuk umpama shuriken. Tajam? Kemungkinan besar. Sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar tidak diketahui.

Ini cuma antara dari banyak rekabentuk fidget spinner yang menjadi kerisauan pihak kerajaan dan ibu bapa. Banyak lagi rekabentuk yang lebih extreme di pasaran terutamanya yang dijual di internet.

Ibu bapa harus memastikan fidget spinner di tangan anak-anak bukanlah dari jenis rekabentuk seperti ini. Memang nampak rare, ekstrem, cantik dan bergaya. Tapi jika berlaku kecederaan kita juga yang susahnya.

Seperti apa yang telah saya nyatakan pada entri saya sebelum ini, ibu bapa perlu untuk mengawal anak-anak terhadap permainan ini. Jangan hingga terlalu leka sampai mengabaikan pelajaran.

Sila baca entri saya yang sebelumnya disini  

Fidgeting: Lebih Dari Sekadar Bermain

Fidgeting adalah satu kata kerja baru yang digunapakai ketika ini untuk mengkelaskan golongan atau perseorangan atau perkumpulan yang bermain Fidget Spinner.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Karen Pine dari University Of Hertfordshire yang dibiayai oleh Economic and Social Research Council (UK) mendapati bahawa kanak-kanak yang bermain fidget spinner dengan tangan mereka mendapat keputusan lebih baik dalam pembelajaran dan lebih mudah untuk mengingat akan perkara yang diajarkan kepada mereka.

Mereka dapati bahawa kanak-kanak yang menggerakkan tangannya dengan bebas ketika sesi pembelajaran lebih cepat memahami apa yang diajarkan guru berbanding kanak-kanak yang hanya duduk diam.

Mereka juga percaya gerakan tangan dan anggota badan boleh membantu kanak-kanak berfikir, bercakap dan belajar.

Pakar psikologi dapati bahawa apabila kanak-kanak melakukan gerakan tangan, mereka mampu mencari jawapan yang tepat terutamanya dalam situasi mengingat semula huruf atau perkataan dengan sebutan lisan yang betul.

Ini saya alami sendiri terhadap anak sulung saya berumur 4 tahun yang sebelum ini menghadapi kesulitan untuk menyebut nombor  dengan sebutan yang betul dan tepat dalam bahasa melayu atau inggeris walaupun saya ulanginya beberapa kali. Ternyata kesannya amat memuaskan dan dia lebih mudah ‘tangkap’ apa yang saya ajarkan.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Dr. Karen Pine, kanak-kanak berusia 6 ke 8 tahun diminta untuk menamakan objek bergambar yang ditunjuk kepada mereka dan kajian ini mendapati bahawa gerakan tangan membolehkan kanak-kanak tersebut mampu memberikan jawapan dengan tepat.

Menurut Dr. Karen Pine lagi, kita selalu menyangka bahawa gerakan anggota tubuh kita adalah untuk membantu orang lain memahami apa yang ingin kita sampaikan. Tetapi sebenarnya gerakan anggota tubuh membantu kita memberikan perkataan atau frasa yang lebih tepat.

Kita juga sebenarnya mengetahui bahawa ia mampu membantu kanak-kanak berfikir dan sangat penting dalam percakapan dan penyelesaian masalah.

Dr. Karen Pine juga menambah bahawa jika para guru menggalakkan murid-murid melakukan fidgeting di dalam kelas, mereka akan dapati bahawa murid-murid akan mampu menerima ilmu pembelajaran dengan lebih pantas.

Sebelum wujudnya Fidget Spinner, sama ada kita atau orang lain pasti pernah melakukan fidgeting. Pernah pusing-pusingkan pen/pensil di tangan atau di meja? Pernah goyang-goyang kaki ketika duduk? Itulah fidgeting sama ada dalam sedar atau tidak. Saya pasti ramai yang akan mengakui bahawa dengan fidgeting kita rasa lebih tenang untuk berfikir atau mencari idea di persekitaran yang kurang tenteram. Ia mampu buat kita lebih fokus pada apa yang ingin kita dapatkan.

Di Malaysia, membawa Fidget Spinner ke kelas mungkin kurang sesuai kerana kemungkinan besar akan disalahguna oleh anak-anak kita. Untuk melakukan fidgeting ketika menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, itu saya sangat setuju. Kerana dalam masa yang sama kita dapat mengawal cara mereka bermain permainan ini.

Kajian yang dilakukan Dr. Karen Pine adalah kajian di United Kingdom. Pasti ada yang melihat kajian ini tidak relevan kerana perbezaan budaya dan cara hidup. Tapi saya pasti sebilangan besar ibu bapa akan bersetuju jika saya katakan bahawa kana-kanak mempunyai minda yang segar yang perlu dibentuk dengan baik sekaligus membina personaliti mereka dengan baik juga.

Suka untuk saya ingatkan juga bahawa walaupun Fidget Spinner ini dikategorikan sebagai alat permainan tetapi ia tetap perlukan pemantauan dan kawalan dari ibu bapa.

Pastikan Fidget Spinner yang mereka gunakan selamat dan tidak memberikan kemudaratan fizikal terhadap anak-anak kita.

Pada entri berikutnya saya akan paparkan pula jenis-jenis Fidget Spinner yang sesuai dan tak tidak sesuai untuk anak-anak kita mengikut kategori umur.

Saya harap entri ini dapat menjawab beberapa persoalan yang telah diajukan kepada saya dari entri yang terdahulu. Jika masih ada persoalan yang belum terjawab, sila tinggalkan soalan anda di ruangan komen. Insyaalllah saya akan cuba menjawabnya sebaik mungkin.

Baca entri sebelumnya disini 

Baca entri seterusnya disini 

 

The Fidget Spinner Phenomenon

Fidget di dalam bahasa melayu bermaksud ‘gelisah’. Spinner pula boleh dimaksudkan sebagai pemutar atau putaran.

Di Malaysia alat permainan ini telah menjadi viral dan fenomena bila mana ia dijual di merata tempat dengan pelbagai rekabentuk, corak dan warna dengan kualiti yang berbeza-beza.

Pemainnya pula bukan sahaja dari kalangan kanak-kanak malah remaja dan orang dewasa juga turut terjebak dengan permainan ini tidak kita lelaki atau perempuan.

Saya cuba bereksperimentasi alat permainan ini dengan membawa pulang 1 unit Fidget Spinner yang berharga RM15 seunit. Ternyata ia menjadi rebutan anak-anak walaupun mereka tidak tahu apakah sebenarnya benda itu.

Apa yang mereka tahu ia diputarkan dengan jari dan letakkannya di mana-mana permukaan yang rata. Dari satu sisi pandangan, ia kelihatan tidak ubah seperti permainan biasa yang hanya diputar-putarkan. Tetapi hakikatnya ia lebih dari sekadar permainan untuk bermain.

Anak kedua saya yang berumur 3 tahun mempunyai masalah mengekspresikan apa yang ada di dalam hatinya melalui verbal dan ini menjadikannya seorang yang agak kurang hendak berkomunikasi secara lisan walaupun dengan ahli keluarga sendiri. Keadaan ini menjadikan dia lebih banyak menggunakan gerak tubuh dengan harapan agar ada yang mampu fahami apa yang cuba disampaikan. Dia dilihat sebagai pemberontak, sangat nakal, tidak dengar cakap dan agresif.

Itu sebelum dia diberikan permainan Fidget Spinner ini.

Setelah 2 hari saya membelikannya Fidget Spinner ini ada beberapa perubahan ketara dapat dilihat berlaku pada dirinya. Padanya Fidget Spinner hanya sebagai satu permainan.

Perkara yang menakjubkan berlaku selepas itu. Tiba-tiba dia menjadi seorang yang sangat petah bercakap. Dia juga mampu untuk duduk diam dan fokus pada apa yang saya sampaikan secara lisan sama ada dengan tujuan memberi nasihat atau mengajarnya mengenal huruf dan nombor.

Saya mengujinya dengan kiraan 1-10 menggunakan jari. Ternyata mindanya lebih cepat berhubung dan mampu mengingat dengan tepat dalam masa yang singkat. Secara psikologi walaupun tanpa bukti yang kukuh permainan Fidget Spinner ini mampu memberi kesan yang positif terhadap perkembangan minda kanak-kanak. Bahkan dia kini boleh menggantikan ibunya untuk membebel terhadap ayahnya.

Saya melihat Fidget Spinner ini sebagai revolusi alat bantuan mengajar dan pembelajaran (ABMP). Hanya dengan bermain permainan ini mampu memberikan banyak impak pada emosi dan psikologi kanak-kanak.

Namun begitu ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi saya sahaja. Apa yang saya lalui mungkin berbeza pada orang lain. Nanti saya akan ceritakan pula bagaimana Fidget Spinner mampu membuat saya lebih tenang ketika di tempat kerja.

Nasihat saya jika belikan anak-anak anda Fidget Spinner pastikan ia dari rekabentuk yang selamat dan tidak memudaratkan. Sebagai ibu bapa juga kita perlu awasi kegiatan mereka dengan permainan ini. Jangan sampai ia menjadi satu kelalaian pada anak-anak kita kerana terlalu asyik bermain hingga mengabaikan pembelajaran mereka. Pastikan waktu bermain itu adalah dibawah kawalan anda dan ada hadnya.

Saya amat mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari ibu bapa lain mengenai hal ini. Tinggalkan keperihatinan di ruangan komen dan saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi memberikan idea dan buah fikiran.

Baca seterusnya disini http://bit.ly/2qgC0NF