AWAS! Bahaya Fidget Spinner

Beberapa hari yang lalu saya ditunjukkan video dibawah yang dipercayai kemalangan melibatkan fidget spinner. Tidak dapat dipastikan dimana berlakunya kejadian ini.

Di dalam entri-entri saya sebelum ini telah saya tegaskan bahawa kanak-kanak yang bermain fidget spinner ini perlunya dibawah kawalan dan pemantauan ibu bapa.

Selain itu pemilihan spinner yang kurang berbahaya juga amatlah perlu dititikberatkan. Ada ibu bapa memang tak peduli pun hal seperti ini walhal adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tahu, ambil tahu, ambil peduli tentang apa permainan yang kita belikan, bagaimana cara bermainnya, apa tahap bahayanya. Ia sama jugalah seperti ambil peduli tentang siapa kawannya, kenal di mana, apa latar belakangnya.

Pesan saya, bermain tu bermain juga. Tapi keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan.

Benda Apa Ni? Untuk Apa?

Soalan ini banyak berlegar-legar di ruang maya media sosial apabila ada yang menyebut tentang Fidget Spinner atau Hand Spinner atau apa sahaja kod nama yang digunakan oleh penjual dan promoter.

Ini jelas menunjukkan bahawa alat permainan ini masih belum cukup viral di Malaysia. Pada pandangan saya, ibu bapa wajib ambil tahu kerana perkara ini pasti akan melibatkan anak-anak mereka. Terutamanya yang duduk di kawasan bandar yang mungkin agak sibuk dengan komitmen mencari rezeki.

Jelas pada tajuk entri kali ini adalah berkenaan dua perkara. Iaitu yang pertama fidget spinner ni benda apa? Dan soalan kedua fidget spinner ni untuk apa?

Menjawab dua soalan ini pun akan menimbulkan lebih banyak persoalan terutamanya dari kalangan ibu bapa yang mungkin telah diberi info yang kurang tepat tentang perkara ini.

Jadi mari kita huraikan sedikit berkenaan soalan pertama iaitu fidget spinner ni benda apa? Kita jawab dari sudut norma biasa seorang manusia yang ingin tahu.

Fidget Spinner adalah sejenis alat permainan untuk melepaskan tekanan atau stress yang mempunyai fungsi seperti stress ball. Asas rekaan alat permainan ini adalah gabungan bearing di tengah-tengahnya dari pelbagai jenis material atau bahan berbeza (mengikut negara pengeluar) seperti stainless steel, plastik, titanium dan copper.

Alat permainan ini direka dan dicipta pada tahun 1990an tetapi hanya mula mendapat perhatian dan populariti pada tahun 2017. Alat ini didakwa mampu memberikan kesan baik terhadap perkembangan minda seseorang dan menjadi kegilaan kanak-kanak, remaja mahu pun orang dewasa.

Jelas tak? Kalau tak jelas nanti boleh tanya lagi kemudian.

Soalan keduanya, fidget spinner ni untuk apa? Part ini ada banyak percanggahan pendapat dan pandangan. Apa pun saya cuba ringkaskan untuk pemahaman kita semua.

Asalnya alat permainan ini direka dan dicipta untuk membantu kanak-kanak istimewa ADHD, Autisma dan Anxiety belajar fokus terhadap sesuatu. Ia bertindak sebagai mekanisma pelepas rasa gemuruh dan stress supaya dapat lebih fokus pada pembelajaran.

Pakar berselisih pendapat tentang perkara ini dimana sebahagiannya bersetuju dan sebahagian yang lain pula tidak bersetuju kerana tidak ada bukti jelas pengkajian yang menyokong dakwaan ini dan mendakwa ia tidak mustahil boleh menjadi sebahagian dari gangguan atau distractions.

Mengikut pengalaman sebahagian ibu bapa dan pengalaman saya sendiri, yang telah memberikan fidget spinner kepada anak-anak, pastilah ada yang menyokong kerana perubahan itu dapat dilihat dengan jelas terhadap perkembangan anak-anak.

Namun saya tidak menafikan wujudnya gangguan atau distraction kerana keadaan ini boleh berlaku jika kurang atau tidak ada kawalan dari ibu bapa terhadap anak-anak yang bermain fidget spinner ini.

Jadi sama ada anda setuju dan menyokong atau tidak adalah terpulang pada anda. Tidak ada yang salah kerana setiap anak-anak kita mempunyai karakter yang berbeza.

Saya harap penerangan ini cukup jelas sebagai panduan anda semua. Jika ada persoalan dan pertanyaan tambahan boleh tinggalkan di ruangan komen.

Homeschooling Tips: Curriculum Tips

Entri kali ini saya nak tinggalkan dulu isu Fidget Spinner. Bila ada kesempatan lain nanti saya sambung bercerita tentang permainan itu.

Di sini saya nak kongsikan sedikit tips homeschooling untuk para Ibu. Ringkas sahaja tetapi saya harap ia bermanfaat untuk semua. Jika anda mempunyai pandangan atau idea sila tinggalkan di ruangan komen.

Tips ini adalah gabungan dari pengalaman sebahagian besar Ibu homeschooling di luar sana. Untuk Entri ini saya kongsikan dahulu tips Kurikulum homeschooling.

  • Sekiranya boleh, biarkan anak-anak anda explore sendiri topik yang mereka minat. Beri galakan terhadap minat mereka.
  • Jangan takut untuk menggugurkan kurikulum yang kurang berkesan terhadap anak-anak anda walaupun ketika sudah di pertengahan tahun.
  • Beberapa tahun persekolahan mungkin diperlukan sebelum anda dapat mengenalpasti kurikulum yang sesuai dengan mereka.
  • Kurikulum yang sesuai bagi seseorang anak anda mungkin tidak bersesuaian dengan seorang anak anda yang lain. Jadi setiap anak mungkin mempunyai kurikulum yang berbeza.
  • Grades atau penilaian pembelajaran tidak perlu terlalu dititikberatkan sehingga memasuki sekolah menengah. Terlalu memfokuskan pada pencapaian akan membuatkan anak-anak anda kurang fokus terhadap kemahiran yang lebih penting.
  • Dari sudut pandangan lain, pencapaian akademik boleh membantu dan memotivasikan anak-anak yang cerdik tetapi kurang perhatian terhadap perincian yang lain.
  • Pesta Buku akan sangat membantu untuk anda memilih kurikulum yang bersesuaian.
  • Jika ke Pesta Buku, jangan terlalu ghairah dengan banyaknya pilihan yang ada. Semua kurikulum secara asasnya mengajar perkara yang sama. Cuma perlu cari dan dapatkan format serta harga yang bersesuaian dengan bajet dan kemampuan keluarga anda.
  • Tidak mungkin 1 perkara mampu merangkumi keseluruhan perkara termasuklah sekolah.
  • Jika anda risau atau dapati anak-anak anda mengalami kesukaran dalam pembelajaran, uji mereka dan dapatkan bantuan profesional.
  • Terapkan minat pada Sains terhadap anak-anak.
  • Biarkan anak-anak anda berikan input terhadap kurikulum yang mereka minat terutamanya ketika mereka meningkat dewasa.

Mudah-mudahan tips ini dapat memberikan sedikit panduan dan gambaran buat para ibu bapa di luar sana.

Insyaallah saya akan kongsikan tips yang lain pula pada entri yang seterusnya nanti.

Jenis-jenis Fidget Spinner di Pasaran

Saya telah pun memberikan pandangan berkenaan fidget spinner pada entri sebelum ini menerangkan secara ringkas perlukah memberikan fidget spinner pada anak-anak dan fungsinya yang bukan sekadar alat permainan.

Entri kali ini saya akan dedahkan pula berkenaan jenis-jenis fidget spinner yang merangkumi rekabentuk luarannya, jenis bearing dan adakah ia merbahaya atau tidak.

Sebelum itu ingin saya tegaskan disini bahawa penulisan saya ini adalah pandangan peribadi saya hasil dari bacaan dan kajian saya sama ada secara maya atau melalui pengalaman sendiri. Saya bukanlah seorang pakar kanak-kanak atau pakar psikologi. Cuma seorang insan biasa yang mempunyai 3 orang anak.

Mari kita mulakan dengan foto-foto dibawah ini:

Hand-Spinner-Finger-Fidget-Hybird-Alloy-Bearing-Gyro-Kids-Adult-Desk-FocusToy

Jadi, apa pandangan anda setelah melihat tiga foto di atas?

Foto pertama diperbuat dari bahan logam aloi. Walaupun rekabentuknya mempunyai bucu seakan tajam tetapi sebenarnya ia tidak tajam. Mampu memberi kecederaan ringan ketika bermain jika melakukan skill level pertengahan ke atas. Tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar China.

Foto kedua pula mempunyai rekabentuk umpama bilah pedang atau sabit. Diperbuat dari bahan logam aloi. Bearing tengah dari ceramic. Tajam? Tidak tapi mampu mencederakan pengguna dan orang lain ketika bermain. Tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar China.

Foto ketiga diperbuat dari bahan besi dan dibentuk umpama shuriken. Tajam? Kemungkinan besar. Sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak. Negara pengeluar tidak diketahui.

Ini cuma antara dari banyak rekabentuk fidget spinner yang menjadi kerisauan pihak kerajaan dan ibu bapa. Banyak lagi rekabentuk yang lebih extreme di pasaran terutamanya yang dijual di internet.

Ibu bapa harus memastikan fidget spinner di tangan anak-anak bukanlah dari jenis rekabentuk seperti ini. Memang nampak rare, ekstrem, cantik dan bergaya. Tapi jika berlaku kecederaan kita juga yang susahnya.

Seperti apa yang telah saya nyatakan pada entri saya sebelum ini, ibu bapa perlu untuk mengawal anak-anak terhadap permainan ini. Jangan hingga terlalu leka sampai mengabaikan pelajaran.

Sila baca entri saya yang sebelumnya disini  

Fidgeting: Lebih Dari Sekadar Bermain

Fidgeting adalah satu kata kerja baru yang digunapakai ketika ini untuk mengkelaskan golongan atau perseorangan atau perkumpulan yang bermain Fidget Spinner.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Karen Pine dari University Of Hertfordshire yang dibiayai oleh Economic and Social Research Council (UK) mendapati bahawa kanak-kanak yang bermain fidget spinner dengan tangan mereka mendapat keputusan lebih baik dalam pembelajaran dan lebih mudah untuk mengingat akan perkara yang diajarkan kepada mereka.

Mereka dapati bahawa kanak-kanak yang menggerakkan tangannya dengan bebas ketika sesi pembelajaran lebih cepat memahami apa yang diajarkan guru berbanding kanak-kanak yang hanya duduk diam.

Mereka juga percaya gerakan tangan dan anggota badan boleh membantu kanak-kanak berfikir, bercakap dan belajar.

Pakar psikologi dapati bahawa apabila kanak-kanak melakukan gerakan tangan, mereka mampu mencari jawapan yang tepat terutamanya dalam situasi mengingat semula huruf atau perkataan dengan sebutan lisan yang betul.

Ini saya alami sendiri terhadap anak sulung saya berumur 4 tahun yang sebelum ini menghadapi kesulitan untuk menyebut nombor  dengan sebutan yang betul dan tepat dalam bahasa melayu atau inggeris walaupun saya ulanginya beberapa kali. Ternyata kesannya amat memuaskan dan dia lebih mudah ‘tangkap’ apa yang saya ajarkan.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Dr. Karen Pine, kanak-kanak berusia 6 ke 8 tahun diminta untuk menamakan objek bergambar yang ditunjuk kepada mereka dan kajian ini mendapati bahawa gerakan tangan membolehkan kanak-kanak tersebut mampu memberikan jawapan dengan tepat.

Menurut Dr. Karen Pine lagi, kita selalu menyangka bahawa gerakan anggota tubuh kita adalah untuk membantu orang lain memahami apa yang ingin kita sampaikan. Tetapi sebenarnya gerakan anggota tubuh membantu kita memberikan perkataan atau frasa yang lebih tepat.

Kita juga sebenarnya mengetahui bahawa ia mampu membantu kanak-kanak berfikir dan sangat penting dalam percakapan dan penyelesaian masalah.

Dr. Karen Pine juga menambah bahawa jika para guru menggalakkan murid-murid melakukan fidgeting di dalam kelas, mereka akan dapati bahawa murid-murid akan mampu menerima ilmu pembelajaran dengan lebih pantas.

Sebelum wujudnya Fidget Spinner, sama ada kita atau orang lain pasti pernah melakukan fidgeting. Pernah pusing-pusingkan pen/pensil di tangan atau di meja? Pernah goyang-goyang kaki ketika duduk? Itulah fidgeting sama ada dalam sedar atau tidak. Saya pasti ramai yang akan mengakui bahawa dengan fidgeting kita rasa lebih tenang untuk berfikir atau mencari idea di persekitaran yang kurang tenteram. Ia mampu buat kita lebih fokus pada apa yang ingin kita dapatkan.

Di Malaysia, membawa Fidget Spinner ke kelas mungkin kurang sesuai kerana kemungkinan besar akan disalahguna oleh anak-anak kita. Untuk melakukan fidgeting ketika menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, itu saya sangat setuju. Kerana dalam masa yang sama kita dapat mengawal cara mereka bermain permainan ini.

Kajian yang dilakukan Dr. Karen Pine adalah kajian di United Kingdom. Pasti ada yang melihat kajian ini tidak relevan kerana perbezaan budaya dan cara hidup. Tapi saya pasti sebilangan besar ibu bapa akan bersetuju jika saya katakan bahawa kana-kanak mempunyai minda yang segar yang perlu dibentuk dengan baik sekaligus membina personaliti mereka dengan baik juga.

Suka untuk saya ingatkan juga bahawa walaupun Fidget Spinner ini dikategorikan sebagai alat permainan tetapi ia tetap perlukan pemantauan dan kawalan dari ibu bapa.

Pastikan Fidget Spinner yang mereka gunakan selamat dan tidak memberikan kemudaratan fizikal terhadap anak-anak kita.

Pada entri berikutnya saya akan paparkan pula jenis-jenis Fidget Spinner yang sesuai dan tak tidak sesuai untuk anak-anak kita mengikut kategori umur.

Saya harap entri ini dapat menjawab beberapa persoalan yang telah diajukan kepada saya dari entri yang terdahulu. Jika masih ada persoalan yang belum terjawab, sila tinggalkan soalan anda di ruangan komen. Insyaalllah saya akan cuba menjawabnya sebaik mungkin.

Baca entri sebelumnya disini 

Baca entri seterusnya disini